Pages

Subscribe:

Ads 468x60px

Labels

Thursday, March 3, 2011

Penilaian Dalam Pendidikan Islam

PENGENALAN

Pengujian, pengukuran dan penilaian adalah antara beberapa konsep penting dalam dunia pendidikan. Sering kali istilah ini bertukar ganti digunakan. Misalnya, sesetengah guru apabila mengedarkan kertas ujian, mereka mungkin mengatakan mereka mengukur prestasi pelajar atau menilai prestasi pelajar dalam sesebuah bilik darjah tanpa mengambil hirau maksud sebenar atau maksud khusus yang mendukung istilah berkenaan. Akan tetapi secara khususnya, ketiga-tiga istilah berkenaan mempunyai makna yang lebih spesifik dan ketiga-tiganya mempunyai perbezaan.

Dalam dunia pendidikan, penilaian yang sistematik ialah dengan mengambil kira semua faktor yang boleh mempengaruhi maklumat atau dapatan yang diperolehi supaya dapat membantu guru dalam membuat sebarang keputusan yang tepat. Dan apa yang ingin diterangkan secara ringkas di bawah ini ialah tentang tujuan-tujuan pengujian dan penilaian itu sendiri.

DEFINISI

Antara ketiga-tiga istilah (pengujian, pengukuran dan penilaian) berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang lebih sempit atau khusus.

Pengujian

Menurut Cronbach (1970), ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menghuraikan dengan bantuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori. Misalnya, skala bernombor seperti angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100 untuk ujian darjah kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula seperti ‘ekstrovert’ atau ‘introvert’ bagi ujian personaliti, atau rabun warna bagi ujian penglihatan.

Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros (1981) seperti yang dipetik dalam Raminah Haji Sabran (1991) yang menegaskan bahawa:

“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperolehi daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan. (Raminah 1991:2)”

Hasil daripada jawapan yang diberikan yang diberikan oleh pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai markah akan diberikan kepada individu berkenaan. Pengujian menjelaskan keadaan berapa baguskah prestasi murid yang diuji.

Secara ringkas Pengujian ialah : Satu prosedur yang sistematik bagi mengukur perubahan tingkah laku. Tujuan ialah menentukan pencapaian murid dalam sesuatu pembelajaran. Boleh dalam bentuk pemerhatian, ujian lisan mahupun bertulis.

Penilaian

Penilaian adalah suatu istilah yang boleh didefinisikan dengan banyak cara, Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai the process of delineating, obtaining, and providing useful information for judging decision alternatives”. Definisi ini menjangkau melepasi daripada maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa penilaian ialah satu proses yang dianggap sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai. Hal ini seterusnya bagi membolehkan guru dapat membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran.

Dalam sesuatu bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau guru menilai pencapaian pelajar. Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan bahawa guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Dalam sesetengah keadaan penilaian dibuat tanpa sebarang pengukuran yang melibatkan ujian terlebih dahulu; tetapi hanya melibatkan pertimbangan nilai semata-mata.

Secara ringkasnya Penilaian ialah : Satu proses membuat pertimbangan dalam mentafsir hasil pengukuran. Bertujuan memberikan maklumat tentang pencapaian murid, objektif pelajaran, kaedah mengajar dan kurikulum.

Kesimpulannya, dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan adalah melalui langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru di bilik darjah. Justeru, kecekapan guru dalam membangunkan instrumen pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

TUJUAN-TUJUAN PENGUJIAN DAN PENILAIAN

Secara khusus, dalam konteks pembelajaran di kelas, penilaian dilakukan untuk mengetahui kemajuan dan hasil belajar peserta didik, mendiagnosa kesulitan belajar, memberikan umpan balik/perbaikan proses belajar mengajar, dan penentuan kenaikan kelas. Melalui penilaian dapat diperoleh informasi yang tepat tentang penyelenggaraan pembelajaran dan keberhasilan belajar peserta didik, guru, serta proses pembelajaran itu sendiri. Berdasarkan informasi itu, dapat dibuat keputusan tentang pembelajaran, kesulitan peserta didik dan upaya bimbingan yang diperlukan serta keberadaan kurikukulum itu sendiri. Selain itu tujuan-tujuan lainnya ialah :

  1. Sebagai penggerak / motivasi

Ujian juga memainkan peranan sebagai penggerak bagi murid-murid. Dengan adanya ujian, murid-murid cenderung untuk memberi perhatian kapada pelajaran yang disampaikan oleh guru. Sebahagian besar murid akan hanya mula mengulang kaji bahan-bahan pelajaran lampau apabila diberitahu akan diadakan ujian. Begitu juga keadaan murid-murid di kelas yang akan menempuh peperiksaan mendesak mereka belajar bersungguh-sungguh untuk lulus peperiksaan. Pengujian yang berdasarkan objektif-objektif pendidikan dapat memaksa guru dan murid berusaha mencapai terhadap objektif-objektif itu.

Juga memberi kesedaran kepada kanak-kanak bahawa manusia perlu hidup dalam keadaan berharmoni dengan alam sekitarnya dan membina serta memupuk kemahiran murid-murid untuk menyelesaikan masalah yang berbangkit dari semasa ke semasa.

setereusnya untuk merangsangkan murid supaya terus memperbaiki pembelajarannya melalui tunjuk ajar dan bimbingan guru secara berterusan di bawah aktiviti PKBS (penilaian kemajuan berasaskan sekolah).

  1. Sebagai alat mencari punca kelemahan

Pengujian diagnostik dapat mengesan punca kelemahan murid dalam pembelajaran. Maklumat pengujian ini membolehkan guru menyediakan program pemulihan.

Untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan pembelajaran murid supaya tindakan susulan yang sesuai dapat dijalankan untuk membantu mereka mengatasi kelemahan yang telah dikenal pasti. Dan seterusnya untuk memperbaiki pembelajaran murid dengan mengubahsuai aktiviti pengajaran dan pembelajaran berasaskan maklumat yang deperolehi dari PKBS.

Ianya juga dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatan kurikulum, dan seterusnya mengubahsuainya mengikut maklumat dan objektif yang ditentukan.

  1. Bagi mendapatkan maklumbalas (feedback)

Meninjau setakat mana objektif pelajaran telah dicapai oleh murid. Menentukan kemajuan dan pencapaian murid dalam pembelajaran. Memahami daya penyerapan murid dalam pembelajaran. Memberi penjelasan kepada guru sama ada pengajarannya berkesan atau tidak. Memberi gambaran kepada guru supaya mengambil tindakan untuk memperbaiki pengajaran selanjutnya.

Pengujian dan penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum balas kepada guru berhubung tahap penguasaan pelajar terhadap sesuatu kemahiran yang telah disentuh dalam bilik darjah serta meninjau masalah yang timbul dalam sesi pengajaran pembelajaran yang berlangsung. Dengan itu guru dapat mengenal pasti tahap kemajuan seseorang murid dalam bilik darjah tersebut sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, sederhana, lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga guru dapat mengenal pasti murid yang cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan murid yang lemah yang memerlukan aktiviti pengayaan. Guru juga akan membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran agar lebih bersesuaian dengan keperluan murid atau mengulang menggunakan strategi sama dan sebagainya.

Bagi murid-murid pula, hasil ujian mungkin merupakan suatu perangsang bagi mereka sekiranya keputusan yang diterima adalah baik. Prestasi mereka yang baik seterusnya akan mendorong mereka belajar dengan lebih tekun lagi. Sebaliknya, keputusan yang kurang baik mungkin akan mencabar murid berkenaan untuk berusaha dengan lebih kuat. Setengah-setengah ibu bapa, setelah mendapat maklum balas tentang hasil ujian anak-anak mereka akan berikhtiar untuk mendapatkan bimbingan tambahan bagi anak-anak mereka.

  1. Menilai prestasi / pencapaian / kemajuan murid-murid.

Proses penilaian dan pengujian yang dijalankan pada peringkat akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang setakat mana penguasaan murid-murid tentang sesuatu kemahiran yang telah diajar. Selain penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran, proses penilaian yang dijalankan pada akhir sesuatu tempoh pengajian yang ditetapkan, misalnya pada akhir tahun sesi persekolahan atau kepada pelajar Tahun 6 (PSR), Tingkatan 3 (PMB) dan Tingkatan 5 (‘O’ Level) adalah bertujuan untuk menentukan gred yang memperlihatkan tahap pencapaian secara keseluruhan yang telah murid-murid atau pelajar-pelajar kuasai. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan memfokuskan kepada pemberian anugerah atau pengiktirafan (hadiah Brunei shell) kepada pelajar hasil daripada pencapaian yang ditunjukkan oleh mereka dalam peperiksaan.

Hasil penilaian yang dijalankan akan memperlihatkan pencapaian pelajar mengikut gred yang telah ditetapkan sama ada cemerlang, sederhana atau gagal. Guru akan dapat membezakan murid-murid yang cemerlang, sederhana dan lemah berdasarkan keseluruhan prestasi pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki.

  1. Untuk mengenalpasti pengetahuan pembelajaran lampau pelajar-pelajar

Penilaian dan pengujian penting bermula sebelum memulakan pengajaran dan pembelajaran. Sebelum guru memulakan pengajarannya dalam bilik darjah, perlu baginya mengadakan penilaian dan menguji murid-muridnya bagi meninjau sejauh manakah murid-muridnya telah menguasai sesuatu kemahiran atau ingin mendapatkan aspek-aspek yang akan dipelajari. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar kepada penutur bukan asli bahasa Melayu, guru perlu mengetahui aspek kemahiran manakah yang telah dikuasai oleh pelajar dari aspek tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting bagi guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran.

Penilaian dan pengujian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung pula akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan tahap kemajuan yang berterusan ini akan memungkinkan guru mengetahui masalah yang dihadapi oleh pelajar. Adakah murid mempunyai masalah dalam mempelajari dan menguasai sesuatu kemahiran yang telah diajar sebelumnya di dalam bilik darjah? Sekiranya menghadapi masalah, guru akan menyelidiki aspek atau kemahiran yang menimbulkan masalah kepada murid-murid dan mengenal pasti punca masalah tersebut berlaku.

Maklumat berkenaan amat perlu kepada guru bagi menyediakan latihan yang khusus atau pemerhatian yang lebih kepada murid-murid berkenaan supaya masalah yang dihadapi dapat diatasi, seterusnya guru akan merancang isi pelajaran serta menggunakan pendekatan atau kaedah yang sejajar dengan pengetahuan sedia ada murid. Dengan cara ini aktiviti serta isi pelajaran yang disediakan dapat menampung keperluan murid berkenaan.. Tanpa penilaian dan pengujian yang dijalankan, murid-murid yang menghadapi masalah sukar dibantu dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dari arus perdana persekolahan.

  1. Bagi pensijilan atau pengkelasan

Murid-murid di peringkat PSR, PMB dan peringkat ‘O’ akan menerima sijil-sijil yang berkenaan setelah lulus peperiksaan-peperiksaan tersebut. Dalam situasi sekolah, adalah jelas satu lagi peranan pengujian ialah untuk pensijilan. Gred-gred pada sijil-sijil tersebut bergantung kepada pencapaian murid-murid dalam peperiksaan tersebut.

Selain daripada sekolah, ujian-ujian yang dijalankan dimaktab, politeknik dan universiti juga memainkan peranan pensijilan. Para pelajar serta siswa-siswi akan dianugerahkan diploma atau ijazah kerana telah lulus ujian-ujian tertentu. Diploma dan ijazah juga merupakan satu bentuk sijil yang diberi sijil kepada mereka yang berjaya dalam peperiksaan mengikut prestasinya.

  1. Bagi membuat ramalan

Untuk meramalkan kejayaan murid pada masa akan dating atau sebagai alat prediksi. Penilaian bertujuan untuk mendapatkan informasi yang dapat memprediksi bagaimana kerja peserta didik pada jenjang pendidikan berikutnya atau dalam pekerjaan yang sesuai.

Ujian seperti ini biasanya dijalankan oleh pihak berkuasa semasa memilih calon-calon bagi sesuatu kursus atau latihan atau ujian yang bertujuan membuat ramalan seperti Ujian Kelayakan Latihan Perguruan, ujian yang dijalankan oleh pihak politeknik setempat, ujian kelayakan yang dijalankan oleh Jabatan Penerbangan Awam untuk memilih para jurutera (penerbangan) pelatih, ujian yang dijalankan oleh Angkatan Tentera semasa memilih para pelatih juruteknik dan sebagainya.

Di dalam bilik darjah, guru mungkin menjalankan ujian prognostik untuk membuat ramalan tentang kecenderungan dan kebolehan murid.Contoh dari penilaian ini adalah ujian bakat skolastik atau ujian potensi akademik. Hasil daripada ujian prognostik akan digunakan oleh guru dalam perancangan kaedah, bahan-bahan pengajaran dan alat-alat bantu mengajar.

  1. Bagi membuat klasifikasi

Sebagai grading, penilaian ditujukan untuk menentukan atau membezakan kedudukan hasil kerja peserta didik dibandingkan dengan peserta didik lain. Kerana itu, fungsi penilaian untuk grading ini cenderung membandingkan anak dengan anak yang lain sehingga lebih mengacu kepada penilaian acuan norma (norm-referenced assessment), prestasi yang paling baik dikumpulkan dalam Kumpulan A, prestasi yang sederhana baik dalam Kumpulan B dan Kumpulan C dan yang lemah dalam Kumpulan D atau untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.. Pengumpulan seperti ini akan membantu guru menjalankan aktiviti-aktiviti pengayaan dan pemulihan.

Oleh itu guru boleh menggunakan kriteria kebolehan untuk membahagikan murid-murid mengikut prestasi masing-masing.

  1. Pemilihan

Keputusan penilaian sering digunakan sebagai asas dan panduan untuk memilih murid-murid ke jurusan-jurusan pendidikan yang sesuai dan sebagai asas untuk murid memilih pekerjaan kelak mengikut jurusan pendidikan yang telah dipilihnya atau mengikut kepandaiannya.

Juga sebagai alat seleksi, penilaian ditujukan untuk memisahkan antara peserta didik yang masuk dalam kategori tertentu dan yang tidak. Peserta didik yang boleh masuk sekolah tertentu atau yang tidak boleh. Dalam hal ini, fungsi penilaian untuk menentukan seseorang dapat masuk atau tidak di sekolah tertentu.

Di samping itu, guru juga dapat menentukan adakah semua murid dapat dipilih serta dikelompokkan dalam satu kumpulan yang besar berasaskan tahap penguasaan yang berbeza atau di kelompokan dalam kumpulan yang sama. Dalam suasana penguasaan yang berbeza, wajar bagi guru menempatkan murid mengikut tahap penguasaan masing-masing dan menumpukan pengajaran mengikut keperluan murid yang berbeza-beza. Keadaan ini menunjukkan tujuan penilaian dan pengujian yang dijalankan adalah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut tahap penguasaan sesuatu kemahiran.

  1. Penyelidikan

Dalam satu-satu penyelidikan, maklumat diperlukan daripada berbagai-bagai sumber. Dalam penyelidikan yang berkaitan dengan pendidikan, maklumat dapat diperoleh dari ujian, pemerhatian, penggunaan soal selidik, biografi dan sebagainya. Keputusan pelbagai jenis ujian seperti ujian tara, ujian kepantasan, ujian daya dan ujian perlakuan sentiasa digunakan oleh para penyelidik dalam menjalankan kajian-kajian mereka.

KESIMPULAN

Dari tujuan penilaian yang telah disenaraikan tadi, tujuan untuk melihat tingkat penguasaan kompetensi, bimbingan, dan diagnostik merupakan peranan utama dalam penilaian.

Sesuai dengan tujuan tersebut, penilaian menuntut guru agar secara langsung atau tak langsung mampu melaksanakan penilaian dalam keseluruhan proses pembelajaran. Untuk menilai sejauhmana siswa telah menguasai beragam kompetensi, tentu saja berbagai jenis penilaian perlu diberikan sesuai dengan kompetensi yang akan dinilai, seperti unjuk kerja (performance), penugasan (projek), hasil karya (produk), kumpulan hasil kerja siswa (portofolio), dan penilaian bertulis (paper and pencil test). Jadi, tujuan penilaian adalah memberikan masukan informasi secara komprehensif tentang hasil belajar peserta didik, baik dilihat ketika saat kegiatan pembelajaran berlangsung mahupun dilihat dari hasil akhirnya, dengan menggunakan berbagai cara penilaian sesuai dengan kompetensi yang diharapkan dapat dicapai peserta didik.


Bibliografi

Ø Abdul Rahim Abdul Rashid, Abdul Aziz Abdul Talib, Abdul Ghafar Md.Din & Mohamad Haron. (1992). Panduan Latihan Mengajar. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ø Ee Ah Meng. Pedagogi III. 1998. Shah Alam : Penerbit Fajar Bakti.

Ø Fred Percival, Henry Ellington. 1994. Penterjemah Noran Fauziah Yaacub. Buku Penduan : Teknologi Pendidikan. Selangor Darul Ehsan : Percetakan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ø Lee Shok Mee. (1990). Pedagogi 4 (A) : Pengujian Dan Penilaian Dalam Pendidikan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Ø Mok Soon Sang. (1997). Pedagogi Dan Penilaian, Pemulihan, Pengayaan Dan Pendidikan Inklusif. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Ø Mok Soon Sang Dan Lee Shok Mee. (1988). Latihan Mengajar : Untuk Maktab Perguruan. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn.Bhd.

Ø Raminah Hj Sabran. (1991). Penilaian dan pengujian Bahasa Malaysia: Penerapannya pada peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

0 comments:

Post a Comment